Awas Pengguna CIMB Clicks Dan Maybank2u, Wanita Ini Kongsi Duit Kering Selepas Buka Emel Dari 'LHDN'


Dalam zaman serba canggih ini, teknologi digunakan untuk memudahkan kehidupan namun ada segelintir individu menggunakan teknologi untuk menyusahkan orang lain.

Menjadi mangsa penipuan di online bukan lagi satu perkara yang jarang didengari. Rasanya sudah berkali-kali dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membuat urusan di atas talian. 

Tiada siapa yang mahu wang hasil titik peluh lesap begitu saja ditelan oleh scammer. Namun kini para penipu online juga lebih bijak dan kreatif untuk menipu mangsa mereka. 

Jenayah mereka makin sukar untuk dikesan dan inilah yang menimpa mangsa, Michelle yang kehilangan kesemua duit di dalam bank selepas tertipu melalui satu emel dari jabatan kerajaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri.


Pada 1 November lalu, Michelle berkongsi bagaimana dia menerima satu emel dari LHDN. "Saya terima emel ini daripada Encik Fadzli Bin Abdul Wahit <philir1@gvsu.edu> pada Isnin dan Selasa dan saya telah membuka emel tersebut untuk mengetahui isi kandungannya". 

"Setelah menekan butang "Proceed" berwarna biru, saya diarahkan untuk ke sebuah laman yang memaparkan logo-logo bank yang memberitahu saya untuk memilih bank yang saya guna dan saya mengikut arahan yang ditetapkan"

"Selepas saya memilih CIMB, saya diarahkan ke CIMBClicks. Saya masukkan username serta kata laluan dan diminta untuk menaip nombor TAC"

"Namun selepas beberapa minit, saya menerima SMS daripada CIMB mengatakan kesemua wang saya dipindahkan kepada seseorang yang tak dikenali".


"Kemudian saya menelefon khidmat pelanggan CIMB dan mereka terkejut apabila mendapat tahu saya tidak menjalankan transaksi tersebut. Mereka memberitahu had pemindahan wang saya dinaikkan dan sejumlah wang dipindahkan selepas itu"

"Saya agak terkejut apabila mengetahui transaksi itu tidak dilakukan oleh saya! Apa yang saya cuma lihat di laman CIMBclicks itu hanyalah ruang untuk menulis username dan kata laluan".

"Saya tidak tekan 'transfer' atau menaikkan had pengeluaran wang. CIMB telah pun menyekat akaun tersebut dan menasihatkan saya untuk membuat laporan polis"

Apa yang menyedihkan ialah selepas Michelle membuat laporan polis, inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial memberitahu wanita itu bahawa duit yang hilang itu agak sukar untuk mendapatkannya semula.

"Saya cuma berharap agar mereka mampu mencari penjenayah dan memasukkannya ke dalam jel. Saya selalu ingat mengenai isu penipuan internet ini dan saya tak percaya saya salah seorang mangsakes ini. Jadi hati-hatilah semua kerana ianya boleh berlaku kepada sesiapa saja". 


Memang licik sungguh penjenayah siber sekarang ini. Jika anda mendapat emel yang mencurigakan elak dari membuka emel atau pautan yang disertakan. 

No comments

Powered by Blogger.