Nur Amirah Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia

Nur Amirah Athirah, gadis yang berbohong dengan mereka-reka cerita dirinya menjadi mangsa culik sebelum ditemui bersama kekasihnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi.


Permohonan maaf dan janji untuk berkelakuan baik dibuat Nur Amirah di hadapan bapanya, Abdul Majid Landu, 43, ketika dia datang melawat anaknya itu di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di sini semalam.

Abdul Majid memberitahu, anak sulungnya itu turut berasa kesal atas kejadian tersebut dan berikrar untuk berubah menjadi seorang anak yang baik.

“Dia (Nur Amirah) buat masa ini masih di bawah jagaan JKM dan ketika ini dia berada dalam keadaan tenang serta selamat.

“Dia juga telah menyesal atas perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya,” kata Abdul Majid. 


Gadis yang berbohong dengan menyatakan telah diculik di Bandar Sultan Suleiman, Ahad lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini bersama teman lelakinya esok. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, Nur Amirah akan didakwa di bawah Seksyen 196 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan palsu.

Menurutnya, lelaki berumur 19 tahun yang dipercayai teman lelaki Nur Amirah dan ditahan bersama-sama gadis itu Jumaat lalu pula akan didakwa di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Seorang lagi lelaki berumur 45 tahun yang turut ditahan kerana menumpangkan Nur Amirah sepanjang kehilangannya dibebaskan dan hanya dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

“Pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang kira-kira pukul 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, keputusan untuk mendakwa Nur Amirah dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan palsu adalah satu kesalahan.

No comments

Powered by Blogger.