Aiman Tino Nyanyi Rap Bagus Juga, Percubaan Yang Baik - Joe Flizzow
Selepas dikecam teruk oleh bekas ahli kumpulan VE, Damian Mikhail, percubaan menyanyi rap oleh Aiman Tino dipuji oleh Joe Flizzow.
Legenda rap negara itu, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39 berkata apa yang dilakukan oleh Aiman dan kakaknya Fara Hezel menerusi lagu Terasa Cinta adalah percubaan yang baik.
Joe juga berkata dia tiada masalah jika mana-mana artis mahu berkarya dalam genre itu.
"Satu percubaan yang baik, cara Aiman rap pun agak bagus juga. Sebelum ini saya pernah dengar rap yang lebih teruk dari dia.
"Saya juga mengalu-alukan jika ada artis yang mahu rap atau memasukkan elemen hip-hop dalam lagu mereka. Misalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun ada lagu yang berunsur rap, tiada masalah pun," katanya kepada Mstar Online.
Dalam pada itu, Fara Hezel menafikan lagu Terasa Cinta itu merupakan satu penghinaan kepada industri muzik khasnya genre hip hop.
Kata Fara, 21 lagu itu merupakan hasil nukilan ibu dan bapanya, dan ia merupakan cubaan mereka membuat kelainan.
"Assalammulaikum, pertama sekali saya nak mohon maaf kepada pihak yang mengecam @official_aimantino (Aiman Tino) disebabkan membawa genre hip hop yang dianggap sebagai penghinaan kepada industri.
"Lagu Terasa Cinta yang ditulis sepenuhnya oleh ibu bapa kami bukanlah untuk menghina genre ini malah kami cuba untuk membuat kelainan untuk warna industri muzik sekarang.
"Kami cuba selitkan rap dalam lagu tersebut tapi tak sangka menjadi isu sedemikian," tulis Fara menerusi laman Instagram.
Post a Comment