Rohingya timbukan masalah malaysia tidak berani lakukan apa-apa takut dikecam dunia sebab berlaku kecam pada pelarian



SELEPAS insiden demonstrasi etnik Rohingya di hadapan bangunan Tabung Haji, Rabu lalu hingga menyaksikan 44 orang ditahan atas dakwaan melakukan provokasi, media sosial dihangatkan dengan pelbagai reaksi.

Ada komen menyatakan masyarakat Rohingya tidak wajar menagih simpati melalui bantahan jalanan dan tidak kurang yang berkongsi kesedihan dengan nasib yang menimpa etnik itu.

Petikan sebahagian dua tulisan yang hangat dikongsi di media sosial kini adalah realiti komen pro dan kontra mengenai insiden tersebut.

Tindakan buat Malaysia tersepit?

Konflik etnik Rohingya dengan Kerajaan Myammar perlu diselesaikan di Rakhine dan bukan dengan menjadi pelarian menyebabkan Malaysia perlu menerima lebih ramai etnik tersebut.

Pandangan itu disuarakan oleh Mohd Faizal Zulkifly melalui penulisan terbarunya yang turut mempersoalkan bagaimana dengan nasib jutaan warga Rohingya di Rakhine walaupun Malaysia telah menerima ramai pelarian dari etnik tersebut.

Faizal sebelum ini pernah mengeluarkan pandangan mengkritik etnik Rohingya yang sering kali membuatkan Malaysia dalam keadaan tersepit ekoran konflik yang dihadapi di negara mereka.

Faizal menerusi penulisan terbarunya berkata, masyarakat Rohingya datang ke negara ini dengan harapan bagi memohon status pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) demi mendapatkan kehidupan lebih baik di negara ini.

Katanya, masyarakat Rohingya tidak mengetahui bahawa Malaysia tidak pernah menerima pelarian secara tetap kerana bukan ahli Konvensyen 1951 dan hanya boleh menjadi transit sebelum mereka dihantar ke negara ketiga yang menerima pelarian secara tetap.

Dalam pada itu, Faizal memaklumkan apabila Malaysia menerima pelarian, kerajaan perlu tanggung kos tinggi bagi mereka menikmati kemudahan yang diberikan kepada pihak berkenaan.

Malah, Faizal mempersoalkan mengenai tanggungan oleh kerajaan bagi menguruskan pelarian dengan nilai jutaan ringgit sedangkan rakyat negara ini merungut dengan masalah kos sara hidup dan pengangguran.

Selain itu, Faizal mempersoalkan mengenai situasi yang bakal berlaku sekiranya wujud ketegangan antara rakyat negara ini dengan etnik Rohingya memandangkan mereka sudah biasa diseksa, ditendang dan dibakar.

“Apalah sangat tindakan yang boleh dilakukan anggota keselamatan kita pada mereka, sekadar menyembur water cannon, gas pemedih mata, pukul dengan belantan dan sebagainya, tidak ada kudis pada mereka.
“Kalau kita ambil tindakan lebih keras, kita pula akan dikecam dunia kerana berlaku kejam pada pelarian. Kita juga yang kena,” ujarnya.

Fakta menyimpang mengenai etnik Rohingya

Serangan dan dakwaan yang dilontarkan terhadap warga Rohingya yang berhimpun di ibu kota bagi mendesak diberikan kerakyatan dan meminta kerajaan Malaysia menerima lebih ramai pelarian satu perkara tidak benar.

Perkara tersebut disuarakan oleh Setiausaha Serantau Muslim, Hakim Mohd Nor yang memaklumkan mereka hadir kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Pasrelief, Serantau Muslim dan ramai lagi menyeru warga Rohingya hari sama menyokong penyerahan memorandum kepada kedutaan Myanmar dan bukan kerajaan Malaysia.

“Memang sewajarnya mereka hadir kerana memo yang kami hantar itu adalah memo mempertahankan hak mereka. Kami ketuai penghantaran memo tersebut dan mereka hadir menyokong tindakan kami. Apa masalahnya di situ?” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya artikel mengatakan Rohingya tidak sedar diri, keras kepala dan pelbagai lagi kata-kata tohmahan memberi gambaran betapa malang dan tersepitnya rakyat negara ini membantu dan melindungi mereka.

Menurutnya, banyak fakta tidak tepat telah dikongsikan kepada umum dan ia berpotensi untuk membentuk satu persepsi buruk terhadap etnik Rohingya.

Mengambil contoh penulisan yang tular mengenai asal usul Rohingya di Arakan, sumber rujukan penulis adalah bussiness associate di Bangladesh yang tidak tepat faktanya.

“Namun sayang, fakta kebanyakan tidak tepat bahkan menyimpang jauh dari kebenaran. Beliau menulis bahawa orang Rohingya ada di Myanmar kerana dibawa oleh British menjadi buruh di negara itu. Ini fakta dari mana?
“Saudara, orang Rohingya ini adalah etnik yang telah lama wujud di wilayah Arakan (sekarang di kenali sebagai Rakhine). Mereka ini ialah orang asal (indigineous people) di wilayah ini,” katanya.

Hakim berkata, penghuni asal wilayah Arakan ini ialah etnik Rohingya dan mereka beragama Islam.

“Bahkan kerajaan mereka adalah kerajaan Islam dan menggunakan dinar emas sebagai matawang mereka sendiri. Dinasti Islam Arakan atau Kerajaan Mrauk U telah bertapak selama lebih 355 tahun sejak tahun 1430 sehinggalah tahun 1785. Dinasti tersebut telah berakhir apabila mereka tewas kepada peperangan dengan Dinasti Konbaung yang berpusat di Yangon pada tahun 1785.

“Mereka dijajah oleh Kerajaan Buddha (Dinasti Konbaung) selama hampir 39 tahun hinggalah British pula yang menjajah Arakan pada tahun 1825 hasil dari perjanjian Anglo-Burma pertama. Penjajahan oleh British telah menyaksikan pentadbiran wilayah Arakan dari Yangoon telah dipindahkan ke pentadbiran British di India. Secara automatik, Arakan terputus hubungan dengan Yangon.” katanya.

Menurutnya, pada 1948, Myanmar mencapai kemerdekaan dari penjajahan British dan mereka menghadiahkan wilayah Arakan ini kepada Myanmar.

“Arakan yang tiada kaitan dengan Myanmar selama hampir 123 tahun itu kembali menjadi sebahagian dari wilayah Myanmar dan semua rakyat di dalam Arakan termasuklah etnik Rohingya menjadi warga Myanmar atau nama lamanya Burma. Dari fakta ini jelas menunjukkan penulis asal telah menyeleweng fakta dengan mengatakan orang Rohingya berasal dari luar dan dibawa menjadi buruh di Myanmar.

“Penulis juga telah menyeleweng fakta yang diungkapkan oleh Perdana Menteri pertama Myanmar iaitu U Nu yang mengatakan Rohingya sebagai orang asal (indigenous people) di Myanmar. Hakikatnya, orang Rohingya yang mendapat kerakyatan Myanmar telah menjadi warga yang baik termasuklah menunaikan tanggungjawab mengundi serta bertanding dalam pilihan raya dan ada di antara mereka memenangi pilihan raya dan menjadi ahli parlimen. Antaranya ialah Abdul Bashar, Zhora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan , Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine). Bahkan, bukan sekadar itu, orang Rohingya juga telah diangkat menjadi Menteri Kesihatan Myanmar iaitu Sultan Mahmood,” katanya.

Keadaan berubah apabila kerajaan junta tentera pimpinan Generel Ne Win mengadakan rampasan kuasa pada tahun 1962.

“Siri serangan dilakukan oleh junta tentera yang bertulangbelakangkan Sami Buddha terhadap Rohingya. Antara siri serangan terhadap Rohingya ialah serangan Nagasari pada tahun 1978 yang menyaksikan ratusan ribu orang Rohingya lari keluar menyelamatkan diri pada tahun tersebut.

“Difahamkan buat kali pertama orang Rohingya sampai ke Malaysia untuk mendapat perlindungan. Fakta ini semua ingin membuktikan satu perkara penting iaitu Rohingya sememangnya adalah orang asal di Myanmar dan bukannya buruh yang dibawa masuk oleh British ke Myanmar,” katanya.

Dakwaan mengatakan orang Rohingya suka mengganggu ketenteraman dan memberontak juga tidak benar.

“Saudara, kalau ibu, kakak dan adik perempuan saudara dirogol dan diperkosa, saudara nak duduk diam sahaja.Ayah dan abang saudara dibunuh dan dipenggal kepala di depan mata, takkan saudara tidak memberontak?

“Nak reda dan tepuk tangan gembira. Aneh sungguh hujah saudara. Sedangkan anak kecil pun kalau kita rampas gula-gula dari tangannya pun dia akan memberontak, inikan pula kekejaman yang melampaui batas kemanusiaan. Sesungguhnya mereka bukan suka suka memberontak sebaliknya hanya bertindak demikian kerana diganggu hak asasi mereka untuk hidup,” ujarnya.

Katanya lagi, hujah mengatakan sekiranya Rohingya dapat berkelakuan baik dan berintergrasi dengan masyarakat Buddha di Myanmar, sudah pasti tiada masalah untuk mereka diiktiraf kewarganegaraan cukup menyimpang.

“Tahukah saudara bahawa pada tahun 1982 kerajaan Myanmar telah menggubal perlembagaan dan hanya mengiktiraf 134 entik di sana, sekaligus menjadikan Rohingya sebagai etnik yang tidak berwarganegara.

“Mereka dipaksa mengaku sebagai pelarian Benggali yang datang ke Myanmar. Sedangkan mereka adalah orang asal di tanah mereka. Mereka pernah keluar mengundi sebagai warganegara bahkan menjadi sebahagian daripada ahli parlimen dan menteri. Secara tiba-tiba kerakyatan dicabut. Bagaimana mereka nak berintegrasi jikalau mereka sendiri tidak diiktiraf sebagai warganegara?” soalnya.

Selain itu, beliau menyatakan pandangan berkaitan kisah Indigenous People of Bangladesh (IPB) menerima tawaran Bangladesh untuk menjadi warganegara kerana sudi untuk hidup berintegrasi dengan majoriti rakyat Benggali juga silap.

“Di sinilah sisi pandang silap penulis, apabila tidak menekan bahawa IPB diberikan kewarganegaraan. Isu paling penting di Myanmar, adalah isu kewarganegaraan. Rohingya dinafikan hak warganegara dan bukannya isu Rohingya tidak boleh integrasi.

“Hakikatnya, mereka sudah pernah berjaya integrasi dan menjadi sebahagian ahli parlimen kerajaan pun. Tapi mengapa tiba-tiba tarik balik kerakyatan mereka dan menafikan hak-hak asasi hidup, pendidikan, bergerak, memilik harta dan pelbagai lagi nikmat warganegara. Sangat tidak adil mengatakan Rohingya tidak boleh integrasi menyebabkan mereka tidak mendapat warganegara,” katanya.

Jelasnya, hanya kerana beberapa insiden kecil membabitkan warga Rohingya, tidak adil sekiranya rakyat negara ini membuat kesimpulan bahawa kesemua mereka itu bermasalah.

“Sebagaimana wujud juga satu dua orang Melayu bermasalah, kita tidak wajar menghukum seluruh bangsa Melayu bermasalah. Begitu juga, tidak adil penulis menghukum Rohingya bangsa keras kepala tanpa membawakan sebarang bukti melainkan hanya dakwaan liar yang sangat tidak benar iaitu masyarakat Rohingya tidak bersama dengan dasar asimilasi Myanmar.

“Saudara, nak asimilasi apanya kalau mereka sendiri tidak diiktiraf sebagai warganegara. Kemudian saban tahun semenjak junta tentera merampas kuasa pada 1962, tak kurang dari 19 siri serangan dilancarkan kepada penduduk Islam Rohingya. Nampak seolah-olah saudara cuba meletakkan Rohingya di kandang orang bersalah sedangkan mereka ini setiap masa dibuli, dibunuh, dirogol dan dirampas hak mereka,” katanya.

Tambahnya, pengaruh sami Buddha di Myanmar cukup kuat dan wujud gerakan membakar sentimen kebencian terhadap orang Islam di negara itu.

“Di sini nampaknya penulis tidak sedar kuasa dan pengaruh sami Buddha di Myanmar. Uprising 8888 yang terkenal dan telah mengangkat nama Aun San Suu Kyi itu sendiri sebenarnya berlaku hanya setelah sami Budha turun sama ke jalanan untuk berdemonstrasi. Penulis mungkin tidak tahu disana wujud gerakan tabata  atau 969 yang diketuai oleh sami Budha Akhsin Wirathu yang sentiasa membakar sentimen kebencian terhadap orang Islam di Myanmar.

“Majalah terkemuka dunia iaitu Times sendiri telah memaparkan muka Akshin Wirathu ini sebagai cover depan majalah dengan caption ” the face of buddhist terror”. Akshin ini juga telah menyifatkan orang Islam ini sebagai anjing dan rakaman video ucapan kebenciannya ada tersebar di merata tempat. Jadi, hujah penulis mengatakan masjid dibina bersebelahan kuil dibina tanpa ancaman adalah tidak benar sama sekali . Saya sendiri semasa ke Yangon pada tahun 2012 menyaksikan masjid di bakar oleh pelampau agama dan menyebabkan kematian beberapa guru agama Islam di sana,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat hujah bagi membina persepsi jahat terhadap Rohingya dengan cuba membandingkan mereka dengan pelarian Vietnam.

“Saya mahu menjelaskan, pelarian Vietnam dan Rohingya ini langsung tak sama. Ibarat ayam dan lembu, sangat berbeza. Latar belakang permasalahan lain. Agama lain dan budaya lain,  bagaimana penulis dengan mudah meramalkan akan berlaku perkara yang sama.

“Saudara, isu antara Rohingya dan Vietnam itu pun dah jauh berbeza. Mana mungkin saudara sanggup bayangkan kesudahannya boleh jadi sama. Sedarkah saudara sehingga sekarang Rohingya tidak diiktiraf warganegara dan pelarian vietnam itu pula sebaliknya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.