Mael hilang keseronokan zaman remaja


Pengorbanan hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang muncul secara fizikal dan ada berlaku tanpa kita sedari.

Bagi penyanyi remaja popular Ismail Izzani, pada usia 17 tahun dia sendiri melalui proses pengorbanan itu dengan caranya sendiri.

“Secara peribadi, pengorbanan bererti melepaskan sesuatu secara reda dan demi kebaikan. Untuk saya, ada beberapa pengorbanan yang saya sendiri lakukan dan mungkin berbeza berbanding pengalaman orang lain,” katanya.

Ismail berkata, antara pengorbanan terbesarnya ialah melepaskan sesi pembelajaran di sekolah seperti remaja seusianya bagi memberi fokus kepada kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

“Pengorbanan itu membuatkan saya hilang ‘keseronokan’ zaman remaja bersama teman.

“Kata orang, zaman sekolah zaman terbaik dalam fasa kehidupan.

Namun, saya terpaksa melepaskan fasa itu. “Memang saya ada kawan rapat, tetapi belajar sendirian di rumah dan tidak merasai pengalaman belajar bersama mereka di sekolah amat berbeza,” kata anak kepada penyanyi popular era 1980-an, Datin Suliza Salam ini.

Selain itu, penyanyi lagu Sabar ini juga terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga untuk mengejar citacitanya sebagai anak seni.

“Paling terkilan apabila saya terpaksa ke Brunei untuk mengadakan persembahan dan tidak dapat bersama-sama meraikan majlis hari jadi ibu bersama keluarga, baru-baru ini,” katanya.

Tak kisah dicemuh

Mencipta nama pada usia muda juga membuatkan Ismail berdepan dengan pelbagai kecaman dan persepsi masyarakat.

Tidak perlu memandang jauh, ada di antara kecaman itu datang daripada rakannya sendiri.

“Ada yang tidak pernah meyakini kemampuan saya dalam bidang muzik. Ada kenalan yang mengatakan saya tidak akan mampu pergi jauh dalam bidang ini.

“Bukan saja rakan seusia, ada juga ibu bapa mereka yang tidak mahu mereka berkawan rapat dengan saya hanya kerana saya penyanyi,” katanya.

Tidak memandang negatif persepsi masyarakat, dia memilih menjadikan itu sebagai motivasi bagi membuktikan kemampuannya.

“Saya cuba buktikan kemampuan secara perlahan-lahan sekali gus menunjukkan bakat yang dimiliki ini mampu membawa saya pergi jauh,” katanya.

Menurut Ismail, dia sendiri tidak pernah meletakkan nyanyian sebagai kerjaya, tetapi lebih kepada minat.

“Saya gembira kerana berpeluang melakukan perkara yang saya memang suka. Untuk nyanyian, saya tak anggap ini sebagai kerja tetapi sebagai minat dan kelas untuk belajar.

“Setiap pengalaman yang saya dapat daripada industri muzik dan pengalaman setiap kali muncul membuat persembahan, saya gunakan sebagai pelajaran baru untuk memperbaiki kekurangan,” katanya.


Demi Kita selepas Sabar


Ismail kini baru melancarkan single keduanya berjudul Demi Kita selepas Sabar diterima ramai.


Demi Kita dicipta oleh Adib Hamdi, Omar K dan Ezra Kong manakala liriknya ditulis Ismail dengan kerjasama Adib dan Omar.

“Grafnya sedikit berbeza dari segi penerimaan peminat. Mungkin kerana lagu ini terlalu peribadi buat saya, jadi tidak tertekan sekiranya respons peminat tidak mengejut seperti diterima oleh Sabar,” katanya.



Jika Sabar berentak pop, Demi Kita pula balada. Tidak cukup dengan itu, Ismail ingin terus meneroka pelbagai sudut dalam seni muzik.

“Single ketiga sudah ada dalam perancangan dan akan tampilkan muzik berentak jaz pula untuk mempelbagaikan genre,” katanya.

sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.