Kerja 6 Jam: Jangan Samakan Malaysia Dengan Sweden

Sweden tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam Malaysia melaksanakan sistem waktu kerja 6 jam sehari untuk sektor awam, kata Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputra Kuala Lumpur.


Naib Presidennya Muhammad Baba Kutty berkata budaya kerja dan pembangunan sektor awam di negara itu jauh berbeza dengan Malaysia.

“Janganlah samakan dengan Sweden. Misalnya sikap dan tahap kecekapan mereka bagaimana? Tidak boleh ikut begitu sahaja,” katanya

Terdahulu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam meminta kerajan mempertimbangkan untuk mengurangkan waktu bekerja daripada 8 kepada 6 jam sehari, dengan menjadikan Sweden sebagai contoh negara yang berjaya melaksanakan sistem itu.

Tetapi Baba berkata ia akan melambatkan lagi urusan orang ramai dan sektor swasta dengan jabatan kerajaan.

“Sejujurnya, berapa ramai (kakitangan kerajaan) yang bekerja selama 8 jam? Jika masa dipendekkan kepada 6 jam, mungkin mereka betul-betul kerja selama 4 jam sahaja.

Katanya, cadangan tersebut mungkin boleh dipertimbangkan kepada kakitangan wanita yang baru melahirkan anak atau di bidang tertentu yang tidak memiliki waktu kerja tetap.


Beberapa majikan yang ditemui rata-rata mempersoalkan kesannya terhadap kecekapan jabatan kerajaan.

Seorang warga Jepun yang bekerja di sini berpendapat cadangan itu boleh dilaksanakan dengan syarat tahap kecekapan staf kerajaan dipertingkatkan.

“Dalam memastikan mutu dan produktiviti mencapai sasaran, pengurusan masa adalah penting. Misalnya jika ada mesyuarat, persediaan awal harus dilakukan,” kata Yumiko Motoura, pengurus pemasaran dan komunikasi serantau J-Horizons.

“Budaya kerja Jepun adalah berdasarkan disiplin kerja yang kuat, terutama dalam bidang perniagaan,” katanya lagi.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti cadangan MTUC itu.

No comments

Powered by Blogger.