Mustahil Guan Eng tak tahu harga banglo!

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditempelak kerana tidak mengetahui nilai pasaran hartanah bagi banglo yang dibelinya.


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid berkata, ini kerana kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng sebelum ini dianggap tidak masuk akal.

“Lim Guan Eng itu bukan orang kampung yang tak berpelajaran. Dia akauntan yang sangat mahir dengan angka.

“Jadi untuk mengatakan bahawa (tidak mengetahui rumah yang dibeli dibawah harga pasaran) adalah tidak masuk akal,” katanya kepada Free Malaysia Today.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Guan Eng baru-baru ini yang tidak mengetahui nilai pasaran hartanah bagi banglo yang dibelinya.

Mengulas lanjut Jahara menambah, berdasarkan penilaian, nilai hartanah rumah tersebut juga dinilai sebanyak RM4.2 juta.

“Untuk seseorang yang mempunyai kedudukan seperti itu bermain politik bodoh adalah tidak masuk akal dan keseluruhan ceritanya adalah busuk,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Sukor berkata, walaupun banglo Guan Eng itu dibeli dibawah harga pasaran, tetapi beliau tetap akan tertakluk kepada harga pasaran semasa hartanah tersebut.

Salkukhairi menambah, pembeli juga tetap akan dikenakan bayaran duti setem pindah milik mengikut harga pasaran semasa hartanah berkenaan walaupun harga jual beli yang dinyatakan dalam perjanjian lebih rendah daripada harga pasaran.

“Dalam kes Lim Guan Eng ini, beliau tetap akan tertakluk kepada harga pasaran semasa hartanah tersebut dan akan dikenakan bayaran duti setem pindah milik mengikut harga pasaran semasa hartanah tersebut,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.