Wajarkah Gambar Pengantin Perempuan 'Belanja' Semasa Solat Sunat Ini Diviralkan?

Baru-baru ini, kecoh di laman sosial apabila gambar sepasang pengantin yang sedang menunaikan solat sunat telah diviralkan dan menerima kritikan hangat. Gambar tersebut dikecam kerana posisi pengantin perempuan sebagai makmum dikatakan kurang tepat dari segi syarak. Baju pengantin perempuan yang digunakan untuk bersolat juga menerima teguran kerana dikatakan agak ketat dan boleh dilihat oleh bukan muhrim.


Seorang netizen malahan memberi komen “Suami bayar mas kahwin, lelaki lain yang jamu mata free. Itu namanya belanja." pada gambar tersebut. Kami cuma dapat #facepalm je komen macam ni. 

Tidak dinafikan, mungkin pengantin wanita tersebut tersilap kerana posisinya semasa solat sunat salah, dan pakaiannya juga tidak kena. Tapi siapa yang ambil dan sebarkan gambar tersebut?

Jika dilihat dari sudut gambar yang diambil dan diviralkan itu, sudah pastilah pengirimnya salah seorang tetamu, kalau tidak pun seorang pengunjung surau atau masjid. 

1. Sudahkah si pengambil gambar ambil inisiatif menegur kedua-kedua pengantin ini, samada tentang posisi mahupun pakaian? 

2. Jika si pengambil gambar merupakan salah seorang tetamu majlis, adakah beliau lupa amanah dan adab menjadi tetamu? 

3. Apakah tujuan sebenar gambar tersebut diviralkan? Jika untuk menegur, sudahkah perkara #1 dilakukan? Jika untuk peringatan kepada pengantin lain, tak adakah cara lain yang tidak melibatkan aib sesiapa?


Saling tegur-menegur memang antara perkara yang menjadi tuntutan di dalam agama Islam, tetapi ada beberapa faktor yang perlu diambil kira ketika membuat teguran

Antaranya: 

1. Tidak merendah-rendahkan orang yang ditegur.
2. Waktu yang sesuai untuk menegur.
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur 

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” Malahan, terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44: ‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Trend viral hampir seolah-olah menjadi satu kebiasaan di laman sosial. Tetapi sampai tahap bagaimanakah sesuatu itu perlu diviralkan? Kes "tersalah viral" juga antara petanda yang kita harus letakkan batasan dan bertanggungjawab pada apa yang dikongsikan. 


Contohnya kes penguatkuasa yang dituduh berkasar dengan seorang auntie sehingga rosak barang meniaganya, walhal yang jatuhkan barang tersebut adalah auntie itu sendiri.

Manusia mana ada yang sempurna. Bagaimana jika suatu hari nanti anda membuat sesuatu kesalahan buat pertama kali dan diviralkan di laman sosial?

Oleh itu, cuba letakkan diri sendiri di dalam tempat orang lain sebelum berbuat sesuatu. Mungkin komen ini boleh buat kita berfikir sebelum nak viralkan sesuatu perkara. 


No comments

Powered by Blogger.