Rumah tangga Elizad bahagia
Sepanjang tempoh dua tahun berkahwin, pelakon cantik Siti Elizad mengakui tidak terlepas ditanya soal zuriat.
Mengakui perkara itu memberikannya tekanan, Siti Elizad, 33, bagaimanapun tidak pernah melenting malah jauh sekali menyalahkan takdir.
Elizad yang juga pelakon drama Teman Lelaki Upahan tetap berfikiran positif apabila dia dan suami, Shamsul Baharin Rahman, 45, belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata.
“Tipulah kalau saya dan suami tidak fikir soal anak. Malah, sebagai wanita perkara ini sedikit sebanyak memberikan tekanan.
“Apabila dua tahun berkahwin dan belum dapat anak, sudah tentu saya panik. Macam-macam bermain di fikiran. Cuma, saya tidak mahu menjadikannya beban dalam kehidupan sehingga menimbulkan masalah lain.
“Dalam perkara ini, saya tabik pada Datuk Seri Siti Nurhaliza. Selama sembilan tahun dia tenang dan senyum saja setiap kali ditanya mengenai anak. Dari situ, ramai yang mendoakan kebaikan untuknya. Malah, ketika dia mengumumkan berita kehamilannya, saya menangis,” katanya.
Elizad yang juga juara program Gempak Superstar reda sekiranya suaminya berhajat untuk berkahwin lain jika rumah tangga mereka tidak dikurniakan anak.
“Suami adalah individu yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada saya. Dia selalu cakap, ada rezeki adalah. Kalau tidak ada sekali pun, dia tetap menyokong saya.
“Cuma, dalam perkara ini saya tidak mahu mementingkan diri sendiri. Sekiranya ditakdirkan tidak boleh melahirkan zuriat untuk suami, saya reda. Malah saya sedia terima ketentuan jika suami berhajat kahwin lagi satu.
“Ketika itu, saya tidak boleh menghalang. Namun, saya dengar rela hati berundur. Sejujurnya, saya tidak sanggup bermadu. Pada masa sama, saya boleh berdikari kerana masih mempunyai kerjaya,” katanya.
Disebabkan itu juga, timbul dakwaan mengatakan perkahwinan dibina pada 11 Januari 2015 itu sedang bergolak.
Tambahan pula, Elizad yang juga pelakon drama Papa Rikcy jarang memuat naik gambar bersama suami di laman Instagram miliknya.
“Banyak yang fikir apabila tak ada anak, rumah tangga pun bermasalah. Suami pula sibuk dengan kerjayanya. Pada masa sama, saya pula jarang muat naik gambar bersama.
“Apa yang boleh katakan, saya dengan suami okey. Kami gembira dengan kehidupan. Cuma, apabila bercakap mengenai anak, siapa kami untuk mempersoalkan takdir Allah,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Elizad kini muncul dalam drama bersiri Syurga Yang Kedua di saluran Astro Prima.
Menerusi drama itu, Elizad melakonkan watak Sabrina, wanita terpaksa melalui kehidupan poligami apabila suaminya dipaksa berkahwin lain oleh ibu mentuanya atas alasan inginkan waris dalam keluarga mereka.
“Saya mahu watak ini memberi inspirasi kepada wanita terutama isteri pertama yang dimadukan suami. Orang selalu kata isteri pertama lemah, tetapi sebenarnya tidak. Berdasarkan kajian yang saya buat sebelum memulakan penggambaran, isteri pertama tabah dan kuat.
“Di depan suami, dia tetap melayan seperti biasa. Di belakang baru dia menangis dan berdoa agar terus diberikan kekuatan. Kalau dia lemah, macam mana dia nak kawal keadaan supaya dia boleh mendapatkan semula perhatian suami?
“Saya meletakkan cerita ini sangat tinggi dan berharap semua wanita menonton drama ini. Pada masa sama, saya tetap nak tunjukkan wanita bukanlah seorang yang boleh diperkotak-katikkan atau dipijak-pijak. Wanita sekarang ada yang bekerjaya dan masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.
Selain itu, Elizada juga bakal muncul dengan filem Takdir pada 28 Februari 2018.
Filem yang menjalani penggambaran pada Julai lalu ini menggandingkan Elizad dan Riezman Khuzaimi selaku watak utama. -Sudirman Mohd Tahir
Post a Comment