Pray for Cikgu Azizan


KIRA-KIRA 200 guru dijangka memberi sokongan kepada Cikgu Azizan yang akan menghadapi perbicaraan kes mencederakan muridnya, di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa ini.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Negeri Sembilan Abu Hurairah Suak berkata, sebelum ini kira-kira 100 guru berkumpul memberi sokongan ketika penyerahan dokumen pertuduhan di mahkamah sama, 27 November lalu.

"Selain guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid turut memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Sokongan ini amat penting bagi menaikkan semangat beliau. Saya berharap lebih ramai guru akan hadir pada Selasa ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abu Hurairah berkata, NUTP juga akan menyediakan bantuan guaman untuk Cikgu Azizan dan akan berusaha membantunya sebaik mungkin.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah.

Sebutan kes berkenaan dibuat pada 31 Oktober lalu manakala 27 November lalu adalah penyerahan dokumen dan 19 Disember ini ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan kes.

Jika didapati bersalah, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau kini diikat jamin sebanyak RM500.

NUTP meminta orang ramai supaya memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan dengan hadir ke mahkamah termasuk menyokong melalui media sosial dengan #PrayForCikguAzizan yang menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

No comments

Powered by Blogger.