Hampir Ribuan Rohingya terbunuh dalam sebulan



SEKURANG-KURANGNYA 6,700 etnik Islam Rohingya terbunuh dalam tempoh sebulan pertama operasi tentera Myanmar di Rakhine, Ogos lalu,.

Menurut pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), daripada jumlah itu, 730 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dibunuh dengan kejam.

Angka terbabit diperoleh menerusi enam bancian selama sebulan membabitkan 2,434 etnik itu yang berlindung di kem pelarian.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai pembersihan etnik terhadap minoriti Islam, namun anggaran sebenar angka korban masih belum didedahkan.

“Kami bertemu dengan mereka yang terselamat daripada keganasan di Myanmar. Mereka kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh yang terlalu sesak dan kotor.

“Hasil bancian itu amat mengejutkan, sama ada jumlah mangsa yang melaporkan pembunuhan ahli keluarga atau cara kecederaan dan pembunuhan yang dahsyat,” kata pengarah perubatan kumpulan, Sidney Wong.

Kira-kira sejuta pelarian Rohingya berada di Bangladesh, termasuk 600,000 yang melarikan diri sejak Myanmar melancarkan operasi ketenteraan Ogos lalu.





Berdasarkan bancian itu, kecederaan akibat terkena tembakan punca kematian tertinggi iaitu 69 peratus, manakala sembilan peratus lagi mangsa dibakar hidup-hidup dan lima peratus dipukul hingga mati.

Hampir 60 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mati ditembak.

Tentera Myanmar yang menafikan berlakunya kekejaman, menyatakan hanya 400 orang, termasuk 376 ‘pengganas’ Rohingya mati dalam beberapa minggu pertama susulan tindakan ketenteraan.

Namun, MSF berkata, peningkatan angka kematian ketika ‘operasi pembersihan’ dilancarkan tentera dan penduduk tempatan pada akhir Ogos lalu, membuktikan etnik Rohingya sememangnya sasaran mereka.

Pelarian Rohingya di Bangladesh mengekalkan cerita mereka mengenai kekejaman tentera Myanmar dan penduduk Buddha yang membunuh dan menghalau mereka dengan menembak, ditetak, dibakar hidup-hidup, rogol dan rumah dibakar.

No comments

Powered by Blogger.