Terbaik adik ni jumpa rm1450,serah kepada bank semula


Seorang pelajar wanita tidak menyangka kejujurannya mengembalikan wang berjumlah RM1450 yang dijumpainya di sebuah bank dekat sini mendapat pengiktirafan polis.Perkara itu diakui menerusi kenyataan yang dimuatnaik melalui Facebook Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar hari ini yang turut memuatnaik gambar sesi penyerahan wang itu kepada pihak bank tempat ia dijumpai.

Dalam kejadian sekitar jam 12.50 tengahari itu pada Sabtu lepas, Siti Mas Dayana Masrizul, 19,(gambar) berkata beliau pada mulanya terkejut sebaik mendapati terdapat sejumlah wang di tempat memasukkan wang pada mesin deposit tunai (CDM) bank terbabit.

“Waktu itu bank tutup dan kebetulan hanya saya seorang yang berada di ruangan tempat mesin teller (ATM) serta CDM bank itu diletakkan.

“Sejurus itu saya terus mengambil wang itu lalu pergi ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi membuat laporan polis dan mengembalikan wang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, tindakan itu dilakukannya atas kesedaran dalam hal halal dan haram selain meyakini pembalasan dari tuhan

“Walaupun tiada siapa nampak, namun saya yakin pembalasan di hari akhirat selain meyakini bahawa sekiranya kita menolong orang pada hari ini, pasti kita akan mudah menerima bantuan di masa mendatang.

“Saya sendiri tidak menyangka bahawa sumbangan sekecil itu mendapat pengiktirafan polis apabila mereka memberitahu akan mengurniakan suatu anugerah kepada saya,” kata anak sulung dari lima berdik itu.

Sementara itu, sumber dari pihak bank terbabit ketika ditemui mengesahkan wang terbabit telah dikembalikan oleh pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dapat dikeluarkan di peringkat kami termasuk mendakwa pemilikan sebenar wang terbabit dan bagaimana ia boleh berada di tempat ia dijumpai,” katanya.

Sumber: kamikongsi.info

No comments

Powered by Blogger.