Sedih Ibu keguguran, Aiman Tino reda
HARAPAN penyanyi Aiman Tino, 19, untuk menyambut kelahiran adik beradik ke-11 pada awal tahun depan tidak kesampaian apabila ibunya, Hazelina Mat Jalil, 41 mengalami keguguran semalam.
Aiman ketika dihubungi Harian Metro mengakui bersedih dengan perkhabaran itu.
“Saya sudah ada pendapatan sendiri dan mahu menjaga adik yang bakal lahir dengan sebaik-baiknya.
“Namun, apa boleh buat Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Menurut bapanya, Yusry Iskhak, 48, Hazelina yang hamil tiga bulan mengalami pendarahan sejak 3 Ogos lalu ketika mengikut Aiman menjayakan persembahan di Melaka.
“Sejak itu Hazelina kurang sihat. Pada 12 Ogos lalu dia ikut saya dan Aiman ke Langkawi untuk penggambaran klip video.
“Sebaik kembali ke ibu kota, saya membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan dia ditahan sehinggalah semalam doktor mengesahkan kandungan tidak dapat diselamatkan.
“Hari ini Hazelina berpuasa kerana pada jam 9 pagi esok rahimnya akan dicuci di sebuah klinik swasta di Tanjung Malim. Doakan segalanya berjalan lancar,” katanya.
Menurut Yusry, meskipun seisi keluarga bersedih dengan kehilangan itu, mereka reda dengan ketentuan yang sudah tertulis..
“Jika kandungan panjang umur, dia anak kesebelas dalam keluarga besar kami. Mungkin Allah SWT akan berikan rezeki yang lain sebagai ganti kehilangan ini,” katanya.
Selain Aiman, Yusry dan Hazelina dikurniakan sembilan lagi anak iaitu Nur Fara Ain, 23, Mohd Aidil, 22, Nurfarazira, 21, Nur Isfasha, 15, Mohd. Haikal, 11, Nur Alya Mahsuri, 8, Nur Qaseh Mahsuri, 6, Mohd. Ikhwan, 3 dan Nur Nina Izara, 2.
Sumber:Harian Metro
Post a Comment