4 Ditahan Termasuk Ahli Perniagaan Ditahan Kes Culik di Kajang

Masalah kewangan dipercayai antara motif kejadian culik kanak-kanak lima tahun di Jalan Cahaya Suria, Sungai Chuah, pagi semalam. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, susulan kejadian itu, empat lelaki ditahan termasuk seorang ahli perniagaan dan pemandu teksi yang membawa pulang kanak-kanak malang itu.


Dalam kejadian kira-kira 9.26 pagi, kanak-kanak lelaki diculik dua lelaki yang menaiki kereta Proton Saga BLM dan kemudian dihantar pulang dalam keadaan selamat kira-kira lapan jam selepas itu.

Menurutnya, selepas kejadian itu, bapa mangsa yang bekerja sebagai kontraktor menerima panggilan daripada suspek yang meminta wang tebusan RM300,000.

“Wang tersebut ditinggalkan di kawasan berdekatan Tesco Saujana Impian, Kajang kerana bapa mangsa bimbang keselamatan anaknya.


“Susulan itu, polis menubuhkan pasukan khas dan menahan dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun kira-kira jam 10.10 malam pada hari yang sama di sebuah pasar raya di Sungai Chuah, Kajang.

“Polis turut menemui RM30,000 di bawah tempat duduk kereta suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Beliau berkata, susulan itu, polis kemudian menahan seorang ahli perniagaan percetakan yang dipercayai suspek utama berusia 45 tahun di sebuah rumah di Kajang Raya.

Hasil tangkapan itu, polis menemui RM60,500 yang dipercayai sebagai wang tebusan yang disembunyikan di bawah tempat duduk motosikal selain RM200,000 di dalam kedai milik suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek mengenali mangsa dan tinggal kira-kira dua hingga tiga kilometer dari rumah mangsa.

“Kami percaya kejadian ini bermotifkan wang kerana perniagaan suspek dikatakan mempunyai masalah kewangan,” katanya.

Abdul Samah berkata, pemandu teksi yang berusia 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis akan menyiasat penglibatan pemandu teksi dalam kejadian itu.

Beliau berkata, semua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan ditahan reman untuk siasatan.

Menurutnya, susulan empat tangkapan itu polis berjaya merampas wang tunai RM291,550 dan dua nombor pendaftaran kereta palsu serta kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan untuk menculik dan teksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1969 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, mangsa hanya mengalami lebam di tangan dan badan akibat kejadian serta masih dalam keadaan trauma.

No comments

Powered by Blogger.