Warga Emas Jadi Mangsa Selipar Tersekat Pedal Minyak

Gara-gara selipar tersekat di pedal minyak, kereta dipandu seorang wanita hilang kawalan dan melanggar serta menggilis seorang warga emas sehingga cedera parah. Akibat rempuhan itu, tulang paha dan siku Mohamad Nasir Manas, 70, patah manakala rusuknya pula cedera dalam kemalangan di sebuah stesen minyak di Jalan Besar, Kluang, pada Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata, wanita berusia 42 tahun itu gagal mengawal keretanya dan melanggar, mengheret serta menggilis warga emas itu sebuah stesen minyak di Jalan Besar.

“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu wanita itu hilang kawalan, selepas seliparnya tersekat di pedal minyak dan melanggar Mohamad Nasir.

“Kereta wanita itu berhenti, apabila ia melanggar sebatang tiang elektrik,” katanya yang dipetik The Star.

Jelasnya, wanita terbabit dibawa ke Balai Polis Kluang untuk diambil keterangannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya sehingga mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, mengimbas kembali kejadian itu, Mohamad Nasir yang dirawat di Hospital Pakar Kluang Utama ingatkan dirinya akan mati, selepas digilis kereta Perodua Kancil yang dipandu wanita terbabit.

“Saya dan isteri berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak, selepas menghantar pulang cucu-cucu kami dan bercadang pergi ke bandar untuk membeli barang dapur,” katanya.

Beliau yang panik melihat belakang keretanya dirempuh kereta Kancil itu, tidak sempat mengelak dan diheret kira-kira dua meter, sebelum digilis kenderaan berkenaan.

“Sebaik digilis, saya terus bangun tanpa sedar paha kanan saya patah,” katanya. Video kemalangan itu yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit kemudiannya tersebar di laman media sosial seperti WhatsApp dan Twitter.

No comments

Powered by Blogger.