Rani Kulup Sasar 1,000 Laporan Polis Menjelang 2018 #Kipidap

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah telah mensasarkan untuk membuat 1,000 laporan polis menjelang tahun 2018. Rani Kulup berkata, dia akan membuat laporan polis selagi ada unsur-unsur yang mengancam keselamatan negara seperti hasutan, hinaan dan jenayah.


“Saya tidak tahu bila laporan saya akan meningkat kepada 1,000 tetapi saya pasti sebelum 2018 nanti akan ada 1,000 laporan polis daripada saya,” katanya yang mahu dipanggil Ayah.
Dia yang terkenal dengan imej seluar singkat, pakaian ala tentera, beret merah dan bercermin mata hitam itu memberitahu, pernah membuat 13 laporan polis secara serentak.

Katanya, walaupun imejnya nampak kelakar dan pelik tetapi tidak bermakna isu yang dibawanya hanya lakonan semata-mata. Menerusi laporan tiga muka surat di ruangan sisipan akhbar Utusan Malaysia pada Selasa, Abdul Rani menceritakan kehidupan peribadinya.

Pesara tentera itu mengaku tidak menyokong mana-mana parti politik dan menafikan mendapat tajaan untuk membuat gimik. Katanya, kehidupannya hanya bergantung kepada wang pencen sebanyak RM1,500 sebulan.

Dia yang mempunyai dua isteri, sembilan anak dan enam cucu tidak berdendam atau sakit hati dengan pengguna laman sosial yang mengutuknya atau popular istilah 'troll'. “Saya fikir selama 22 tahun setengah dalam bidang ketenteraan saya pernah menghadapi keadaan yang lebih berat. Antaranya berada dalam hutan menentang komunis dan sebagainya.

“Jadi saya tidak mahu terkesan dengan perkara ini, kalau kita lihat laman-laman ini (troll) tidaklah terlalu teruk sangat malah memberi kelebihan kepada saya juga apabila lebih dikenali kini,” katanya yang kini popular dengan tagline #kipidap (keep it up).

Katanya lagi, adalah mustahil untuk menghentikan troll kerana jumlah mereka yang terlalu ramai tetapi selagi tidak melampaui batas, dia boleh menerimanya. Mengakui imej peliknya mengundang kemarahan orang ramai tetapi ia juga memberi impak positif kepada dirinya apabila ada pihak yang mahu menjadikan dia sebagai watak dalam sebuah komik.

“Ada yang mahu menjadikan saya watak dalam dalam buku komik tidak lama lagi. Ini rezeki yang dibawa populariti itu sendiri,” katanya. Abdul Rani Kulup juga berkebolehan bermain dram, gitar dan mempunyai kumpulan muzik, Sometimes Group, yang membuat persembahan di majlis kenduri kahwin dan pernah menghasilkan sebuah album dengan lagu popular berjudul Tutup Pintu Tapi Tidak Berkunci.

No comments

Powered by Blogger.