Tidak waras semasa dera bayi sampai mati


IBU terlepas hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh bayi perempuannya berusia 22 bulan selepas Mahkamah Tinggi Melaka hari ini, memutuskan tertuduh tidak siuman ketika melakukannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid dalam keputusannya memerintahkan Daphne Phang Mei Kei, 28, ditahan di Hospital Permai, Tampoi bagi tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertua negeri Melaka.

Ketika membacakan keputusan itu, Siti Khadijah berkata, walaupun mahkamah mendapati Daphne bersalah membunuh anak kandungnya selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah, namun mahkamah mendapati pembelaan berjaya membangkitkan Seksyen 84 Kanun Keseksaan iaitu tertuduh tidak siuman ketika melakukannya.

"Setelah meneliti hujah pihak pembelaaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh melakukan kesalahan seperti di dalam pertuduhan. Bagaimanapun pihak pembelaan berjaya membangkitkan bahawa dia tidak siuman ketika melakukan pembunuhan tersebut mengikut seksyen 84 Kanun Keseksaan.

"Justeru, mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah supaya Daphne diletak dalam tahanan selamat di bawah jagaan Hospital Permai, Johor Bahru.

“Tahanan terhadap tertuduh itu atas perkenan Yang diPertua negeri Run Mohd Khalil Yaakob sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 348(2) kanun sama," katanya.

Daphne sebelum ini dituduh melakukan penderaan hingga menyebabkan kematian terhadap anak ketiganya, Evan Chee Xin Ci yang berusia 22 bulan di rumah di Taman Padi Indah, Pulau Sebang, 5.30 petang 20 julai 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Media sebelum ini melaporkan ada kesan retak di tengkorak kepala dan lebam pada beberapa bahagian badan, dipercayai didera.

Tertuduh kemudian mendakwa anaknya terjatuh dari walker dan membawa mangsa ke Hospital Tampin sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Ifa Sirrhu Samsudin manakala tertuduh diwakili peguam Tiu Leong Kim dan 25 saksi dikemukakan sepanjang prosiding sejak 2015 lalu.

No comments

Powered by Blogger.